Sunday, June 21, 2009

kawan oh kawan : Polemik Tegar

Begitu mudah mencari musuh dari mencari kawan. Kadang-kadang persahabatan yang terjalin lama boleh terungkai disebabkan satu perbalahan yang kecil. Ia berlaku atas dasar ketidaksefahaman yang kronik antara satu sama lain.

Perbezaan mungkin berlaku pada hal yang cukup remeh, mungkin berpunca dari hasad atau mungkin juga berpunca dengan sikap individu itu sendiri yang bersikap antagonis dalam perbualannnya. Kadang-kadang lawak terlebih dan tak kena tempat turut jadi punca.

Begitulah resam kita, mencari kawan tidak susah tetapi mahu rapat itu yang susah tetapi lagi mudah untuk merosakkannya dan menukarkannya kepada permusuhan.

Realitinya, susah untuk menyesuaikan diri dengan seseorang yang agak berbeza dengan kita dalam pelbagai aspek seperti cara berfikir, pengurusan masa, pengurusan diri, cara berinteraksi, cara membuat keputusan, cara bertindak dan lain-lain. Ia bukannya mustahil tetapi jika dengan insan antagonis dan agak kritis kalamnya memang akan jadi mustahil.

Persamaan kita cari, perbezaan kita raikan. Hidup akan tenang, bila orang minta tolong kita tolong dan bila orang yang ditolong minta tolong kita pula tolong dia. Jangan bersikap pentingkan diri sendiri. Reti-retilah berterima kasih walaupun untuk perkara yang kecil. Dalam landskap persahabtan itu yang penting.

Tak semua kita perfect, ia mengambil masa yang lama untuk mencari kesempurnaan. Untuk menjadi sehebat personaliti Tuan Guru Nik Aziz, petah berpidatao seperti Anwar Ibrahim, wawasan yang hebat seperti Tun Dr. Mahathir, berfikiran terbuka seperti Dr. Asri bukannya perkara yang boleh berlaku dalam semalam dua. Kita semua sedang menuju ke arah kesempuranaan, ada yang berlari ada yang berjalan bahkan ada yang merangkak.
Namun jika kita sedar yang akhirnya tiada apa yang lebih sempurna daripada Allah S.W.T maka kita akan lebih berlapang dada.

Tuesday, June 16, 2009

Apakah Benar Engkau Pejuang


Semasa saya menaip kertas soalan Tasawwur Islam peperiksaan percubaan ke-2 Sek.Ren.Islam Al-Amin Gombak saya mendengar nasyid sebagai halwa telinga. Antara nasyid-nasyid yang masuk dalam telinga saya ini satu yang menarik perhatian dan mengandungi makna yang mendalam ialah nasyid yang bertajuk Apakah Benar Engkau Seorang Pejuang didendangkan oleh kumpulan Qatrunnada.

Rasanya semua maklum bahawa kebanyakan nasyid-nasyid Qatrunnada, mawaddah dan anak soleh adalah hasil nukilan dari sajak Abuya Ashaari, pengasas pertubuhan Al-Arqam yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Walaupun beliau boleh dikatakan sesat bahkan pegangan beliau dan pengikut semakin bertambah pelik akhir-akhir ini namun ada juga antara idea-idea beliau yang boleh digunapakai kerana beliau adalah bekas seorang pejuang yang pernah mencapai kegemilangannya sendiri namun akhirnya tersesesat dalam memahami erti perjuangan. Saya rasa intipati nasyid ini boleh dituju kepada semua pejuang yang meletakkan diri mereka di maQam pejuang dan pemimpin di Negara kita ini.


Apakah Benar Engkau Pejuang


Engkau ingin berjuang
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang
Tapi rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang
menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang
Tolak ansur tidak engkau amalkan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup terima cabaran
Engkau ingin berjuang
Kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang
Masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang
Rumah tangga lintang pukang
Engkau ingin berjuang
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang
Tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang
Engkau ingin berjuang
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang

Iman dan taqwa engkau lupakan

Yang sebenarnya apa yang engkau hendak perjuangkan.

Sunday, June 14, 2009

Projek Rancang Usaha


Pernahkah kita terasa seketika yang perjalanan hidup kita ini sedang menyusuri jalan yang tidak pernah kita fikirkan. Kadang-kadang bila menoleh sejenak masa yang berlalu, kita melihat kita telah melakukan sesuatu yang tidak pernah kita rancangkan sebelum ini.

Pernahkah kita bertanya. Apakah matlamat hidup ini? Kebanyakan kita hidup dalam dunianya tersendiri, mempunyai beberapa impian namun ia berakhir dengan khayalan semata.

Sesuatu yang pelik bin ajaib apabila seseorang merancang untuk bercuti kemana-mana berminggu-minggu lamanya, tetapi lupa untuk merancang matlamat dan perjalanan hidupnya. Seperti juga seseorang itu mengelak untuk bermusafir tanpa perancangan yang rapi. Tetapi pada masa yang sama dia tidak mempercayai kepada perancangan kehidupan.

Firman Allah S.W.T

يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون الحشر:18

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.


Berpandukan kepada pimpinan rabbani ini, apakah yang menghalang kita dari menginginkan kebaikan pada hari mendatang dengan merancangnya dengan teliti?

Secara jelas, semua orang mampu untuk merancang masa depannya, demikianlah kita harus mengharapkan perkara baik berlaku pada masa hadapan. Perkara yang selalu menjadi penghalang kepada kejayaan seseorang adalah sikap yang mengesyorkan yang kejayaan adalah milik segelintir orang sahaja yang dianugerahkan keupayaan untuk memperolehinya.


Mengikut kepada Dr. Ibrahim alfaqi dalam bukunya سيطرة على حياتك (menguasai hidup kamu sendiri), beliau menyenaraikan beberapa faktor yang membawa seseorang kepada pengabaian untuk merancang hidupnya, antaranya :

1. Takut akan kegagalan
Ketakutan yang disebabkan oleh pengalaman lalu.

2. Pandangan yang terkeliru
Insan yang pegangan dirinya goyah, ketidakyakinan begitu tepu dalam dirinya. Dia merasakan dirinya tidak layak untuk mengecapi kejayaan. Baginya kejayaan itu diciptakan hanya untuk insan yang terpilih sahaja.

3. Penangguhan waktu
Pencuri yang mencuri umurnya, gelaran yang sesuai bagi seseorang yang suka menangguhkan kerjanya yang sentiasa mencipta alasan yang pelbagai untuk mempertahankan dirinya atas kemalasan untuk merancang kehidupannya.

4. Ketidakpercayaan terhadap kepentingan perancangan
Tidak mempercayai kepentingan merancang matlamat dan masa depan, dengan alasan bahawa terdapat juga orang yang berjaya tanpa perancangan yang rapi. Tetapi ini adalah pengecualian dan bukannya kaedah.

5. kurang pengetahuan
Mempunyai impian yang hebat tetapi tidak mempersiapkan diri dengan ilmu dan segala yang berkaitan yang boleh membantu mencapai impiannya . Maka impiannya akan terus kekal menjadi satu siri angan-angan yang dimimpikannya siang dan malam dan akan berakhir dengan penyesalan حسرة على حسرة.


Matlamat atau objektif yang ditulis dilihat lebih realiti dimana seseorang itu pada fasa ini telah menggerakkan jarinya dan menggerakkan mindanya untuk sibuk berfikir bagaimana untuk menyenaraikan objektif dan merangka pelaksanaannya.

Selain itu, kita boleh menjadikan seseorang yang hebat peribadinya dan hebat kejayaan dirinya sebagai role model dan public figure sebagai modul ke arah pencapaian sesuatu kelayakan atau kemahiran.

Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri juga adalah penyumbang kepada faktor kejayaan seseorang. Kita haruslah ber'iktikad yang kita sememangnya layak untuk menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.

Time management turut memainkan peranan dalm perancangan masa depan yang baik. Waktu itu adalah kehidupan. Pengurusan masa harus dibuat dengan bijaksana kerana kehilangannya adalah kerugian disamping ia tidak boleh diganti.

Fasa berikutnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian dengan melakukan apa yang mungkin dan dikehendaki selagi ia tidak melanggar Syari'at agama. Usaha yang berterusan adalah bahan utama dalam resepi untuk menghasilkan kejayaan.

Firman Allah

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم وإذا أراد الله بقوم سوءًا فلا مرد له وما لهم من دونه من وال الرعد : 11

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Dalam tulisan –tulisan saya yang lalu saya ada menulis tentang tenang atau lembap dan zon selamat. Dua perkara ini juga adalah batu penghalang kepada kejayaan yang sedang melanda pemikiran dan sikap umat melayu, jika kita mampu untuk mengangkat batu ini nescaya kita mampu untuk pergi lebih jauh. Sikap bermalas-malas dan sambil lewa dalam melakukan sesuatu tidak menguntungkan diri malah merugikan.

Setelah melalui peringkat legaslatif dimana kita membuat, mengubal, dan meminda perancangan seterusnya kita akan pergi ke peringkat eksekutif (badan pelaksana), di sini kita perlu melaksanakan apa yang kita rancang dengan bersungguh-sungguh dengan kuasa eksekutif yang kita ada. Kemudian menyusul pula fasa kehakiman iaitu peruntukan masa untuk melihat dan meneliti apa yang telah dibuat samada berlaku kontradiksi di antara obejektif dan tindakan.

Peringkat terakhir sekali ialah bertawakkal kepada tuhan pemilik Alam yang Maha Berkuasa Allah S.W.T. menyerahkan segalanya kepada Allah setelah segala perancangan telah dibuat dan ini adalah konsep tawakkal yang sebenar. Allah berkuasa untuk melakukan apa yang dikehendakinya dan setiap yang terjadi pasti mempunyai hikmah yang sukar difahami manusia.

Kita tidak mampu meramal masa depan namun kita boleh merancang. Kita tidak mampu mengubah masa lepas namun kita boleh membaikinya. Kita hanya mampu merancang Allah sahaja yang menentukannya.

Thursday, June 11, 2009

Perpaduan adalah kekuatan


1.1 Diantara ciri-ciri masyarakat membangun ialah mempunyai perpaduan dan kesatuan. Jika diamati situasi negara-negara membangun yang lain maka dapat kita lihat wujudnya suasana perpaduan dan kasih sayang dalam masyarakat mereka sedangkan sebahagian negara yang lain masih terkebelakang dan diselubungi dengan perpecahan dan kebencian.

1.2 Oleh sebab itu, perkara ini menjadi keutamaan Rasulullah S.A.W yang beliau lakukan selepas hijrah dari Mekah ke Madinah. Seperti yang dimaklumi, hijrah nabi junjungan adalah untuk membina masyarakat Islam yang baru. Beliau telah berjaya menyatupadukann ikatan diantara muhajirin dan ansar, mushrikin dan ahli kitab yang sebelum itu ternyata berpecah.

1.3 Perpaduan akan memberikan laluan membuka arah kepada kemajuan dan pembangunan. Ditambah pula dengan keharmonian, masyarakat mampu untuk hidup dalam keamanan dan ketenangan. Maka undang-undang memainkan peranannya disini kerana ia mengatasi atas segala yang lain. Semua menghormati undang-undang dan berusaha ke arah melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap negara dan bangsa.

1.4 Perpecahan pula sebaliknya akan hanya menjadikan masyarakat hidup dalam ketakutan, kebencian makin bertambah, mungkin sehingga membawa kepada hilangnya peranan undang-undang itu. Yang kuat memamah yang lemah, yang kaya menggunakan yang miskin. Inilah yang membantutkan perkembangan masyarakat kearah pembangunan.

1.5 Oleh itu, Islam yang syumul telah menjadikan perpaduan, kerja-kerja terhadap perpaduan dan keharmonian, dan menjauhi punca-punca yang boleh menyebabkan perpecahan dan persengketaan sebagai suatu kewajiban syar'i yang mulia dan dituntut. Firman Maula 'azza wajalla :

" واعتصموا بحبل الله جميعاً ولا تفرقوا "

Berdasarkan kepada kedudukan tinggi yang diletakkan kepada perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, maka merupakan satu tanggungjawab bagi semua untuk bersungguh-sungguh dalam membina hubungan kasih-sayang dan keharmonian di antara kita. Perlu diingat perpaduan disini bukan hanya bermaksud merapatkan hubungan diantara Muslim dan bukan muslim sahaja tetapi turut menyatupadukan penduduk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, kesemuanya bersatu di bawah payung permerintahan pemimpin yang bijak dan Adil.

1.6 Keputusan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengadakan unity government adalah satu cetusan idea yang murni tepat seperti ajaran Islam itu sendiri yang kearah perpaduan dan keharmonian sejagat.

Mohd Sayuti Omar menulis dalam blognya http://msomelayu.blogspot.com/
“Sebenarnya pertentangan ini bukan besar atau sukar untuk dileraikan. Keduanya mungkin betul dan mungkin salah. Dipihak yang mahukan atau membuka pintu perundingan dengan sesiapa saja berpijak dibumi nyata. Seperti mana kata presiden Pas, Abdul Hadi Awang ia adalah tuntutan Islam. Berunding itu bukan bermaksud bersetuju untuk sekongkol dengan musuh tetapi mencari jalan penyeslaian demi maslahat bersama. Apakah berunding pun tidak boleh? Ini menunjukkan Pas sebagai parti yang kejam!

Manakala dalam dunia politik yang tidak mengenal kawan dan lawan, pandangan agar Pas bergerak sendiri bersama Pakatan Rakyat tanpa epologitik kepada Umno juga betul. Anggapan Umno tidak boleh dipercayai berdasar sejarah lampau juga betul seperti mana Umno juga beranggapan demikain kepada Pas. Tetapi apakah sejarah itu perlu diprejudiskan selamanya? Di manakah hikmahnya Pas sebagai parti mengajak kepada perpaduan? Kehebatan manusia ialah memberi kesedaran kepada musuh bukannya terus mengangkat lembing kepada mereka. “

Monday, June 8, 2009
Sampah Bawah Karpet
Jangan Ada Dua Mazhab Politik Dalam Pas


1.7 Justeru, idea gagasan Tuan Guru ini haruslah diberikan perhatian memandangkan beliau bukan calang-calang orangnya jika dipantau dari segi ilmu, suluk (akhlak), khibrah (pengalaman), sekurang-kurangnya memasuki platform perbincangan dan perbahasan secara ilmiah.

1.8 Perpaduan adalah sesuatu yang mustahak yang perlu diberikan penekanan. Di saat dunia Islam sedang bingit dengan bunyi bom, letupan disana-sini, kita umat Islam di Malaysia masih mampu untuk meneruskan kehidupan seharian dengan sempurna. Jika ada ruang untuk mengekalkannya, mengapa tidak dibincangkan bersama.

Hormati idea Abdul Hadi (Utusan Malaysia)

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jun – Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pakatan pembangkang diminta menghormati idea gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dewan Pemuda Pas berpendirian peluang perlu diberikan sepenuhnya kepada Abdul Hadi untuk memberi penjelasan lanjut dan bukan membahaskannya berdasarkan sentimen dan emosi.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai seorang yang berilmu dalam bidang agama, mustahil Abdul Hadi akan mengemukakan sesuatu yang bertentangan dengan nas, justeru mereka harus lebih bertenang, bersabar serta tidak mudah melatah apabila membicarakan idea berkenaan.

‘‘Datuk Seri (Abdul Hadi) adalah seorang yang berilmu, berpengalaman dan bukan seorang yang jahil. Beliau merupakan ketua kami dan juga seorang ulama. Beliau berkelayakan untuk melontarkan apa jua idea yang mampu memberi manfaat kepada agama, rakyat dan negara.

‘‘Cetusan idea kerajaan perpaduan ini dibuat secara ilmiah iaitu dengan bersandarkan nas serta dalil di dalam Islam. Mustahil Datuk Seri akan mengemukakan satu idea yang boleh mendatangkan keburukan.

‘‘Sehubungan itu jika hendak dibahas sekalipun ia perlu dilakukan dalam konteks disiplin ilmu yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang berhubung idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.

Idea itu pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.

Dalam muktamar tersebut Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

Nasrudin berkata, pemimpin pakatan pembangkang juga harus sedar selama ini Pas sentiasa menyokong setiap idea yang dikemukakan atas semangat setia kawan walaupun ada masanya parti itu tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Menjawab satu soalan, Nasrudin mengakui, perbahasan secara emosi dan sentimen peribadi boleh menyebabkan ia dilihat mengikut perspektif yang sempit dan negatif.

‘‘Ini ditambahkan lagi dengan kenyataan yang menyebut, idea kerajaan perpaduan itu sama dengan usaha untuk membawa Pas menyertai UMNO.

“Saya ingin tegaskan di sini, perkara ini tidak akan berlaku dan mustahil berlaku. Tidak akan ada pemimpin dalam Pas akan berbuat demikian.

‘‘Ideologi Pas tidak sama dengan UMNO. Dasar perjuangan parti pun tidak sama tetapi bukan bermaksud kita harus menjauhi diri daripada mereka.

‘‘Kita harus mendekati mereka bagi tujuan dakwah kita selain berusaha untuk menyelesaikan banyak masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, al-Quran ada menyatakan dengan maksudnya ‘hendaklah kamu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara jahat dan dosa’, merupakan arahan Allah kepada setiap hamba-Nya supaya menjalinkan kerjasama di dalam perkara yang berasaskan ketaqwaan.

‘‘Arahan ini jelas yang mana Allah menyuruh kita bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan iaitu dengan meletakkan taqwa sebagai asas dan dalam masa sama Allah melarang kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa,” ujarnya.