Friday, October 23, 2009

Nampak Kuat Agama Tapi Masuk Neraka

Tulisan Dr. Asri Zainul Abidin. Sarat dengan hidden message. Isi dan buah fikir yang menelanjangkan realiti yang selalu disalah erti.

http://drmaza.com/home/?p=752

Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan.

Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pendusta Agama

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati.

Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran.

Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: “dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar”. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id:

“Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas RasululLah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam” (Hammam `Abd al-Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan).

Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Khawarij

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah Puak Khawarij.

Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut:

“..Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka.

Puak Khawarij ini mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir.

Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida ‘Ali bin ‘Abi Talib. Selepas zaman ‘Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelusuk dunia Islam.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w menyebut tentang mereka:

“Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jamaah mereka.

Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan.

Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal dari membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.


Wednesday, October 21, 2009

Perpaduan adalah kekuatan

1.1 Diantara ciri-ciri masyarakat membangun ialah mempunyai perpaduan dan kesatuan. Jika diamati situasi negara-negara membangun yang lain maka dapat kita lihat wujudnya suasana perpaduan dan kasih sayang dalam masyarakat mereka sedangkan sebahagian negara yang lain masih terkebelakang dan diselubungi dengan perpecahan dan kebencian.

1.2 Oleh sebab itu, perkara ini menjadi keutamaan Rasulullah S.A.W yang beliau lakukan selepas hijrah dari Mekah ke Madinah. Seperti yang dimaklumi, hijrah nabi junjungan adalah untuk membina masyarakat Islam yang baru. Beliau telah berjaya menyatupadukann ikatan diantara muhajirin dan ansar, mushrikin dan ahli kitab yang sebelum itu ternyata berpecah.

1.3 Perpaduan akan memberikan laluan membuka arah kepada kemajuan dan pembangunan. Ditambah pula dengan keharmonian, masyarakat mampu untuk hidup dalam keamanan dan ketenangan. Maka undang-undang memainkan peranannya disini kerana ia mengatasi atas segala yang lain. Semua menghormati undang-undang dan berusaha ke arah melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap negara dan bangsa.

1.4 Perpecahan pula sebaliknya akan hanya menjadikan masyarakat hidup dalam ketakutan, kebencian makin bertambah, mungkin sehingga membawa kepada hilangnya peranan undang-undang itu. Yang kuat memamah yang lemah, yang kaya menggunakan yang miskin. Inilah yang membantutkan perkembangan masyarakat kearah pembangunan.

1.5 Oleh itu, Islam yang syumul telah menjadikan perpaduan, kerja-kerja terhadap perpaduan dan keharmonian, dan menjauhi punca-punca yang boleh menyebabkan perpecahan dan persengketaan sebagai suatu kewajiban syar'i yang mulia dan dituntut. Firman Maula 'azza wajalla :

" واعتصموا بحبل الله جميعاً ولا تفرقوا "


Berdasarkan kepada kedudukan tinggi yang diletakkan kepada perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, maka merupakan satu tanggungjawab bagi semua untuk bersungguh-sungguh dalam membina hubungan kasih-sayang dan keharmonian di antara kita. Perlu diingat perpaduan disini bukan hanya bermaksud merapatkan hubungan diantara Muslim dan bukan muslim sahaja tetapi turut menyatupadukan penduduk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, kesemuanya bersatu di bawah payung permerintahan pemimpin yang bijak dan Adil.

1.6 Perpaduan adalah sesuatu yang mustahak yang perlu diberikan penekanan. Di saat dunia Islam sedang bingit dengan bunyi bom, letupan disana-sini, kita umat Islam di Malaysia masih mampu untuk meneruskan kehidupan seharian dengan sempurna. Jika ada ruang untuk mengekalkannya, mengapa tidak dibincangkan bersama.

Monday, October 12, 2009

Embracing Dreams

I WALK WITH THE WIND BLOWING

WANDERING AROUND THE UNCERTAINTY

EVEN IF TIME COMES TO LOSING SOMETHING

I WILL CHOOSE TO EMBRACE IT

I WILL BE PUTTING MY HANDS FORWARD

TOWARDS THE THINGS I CANNOT LOSE

ONLY EMBRACING THE GLEAMING DREAM

TO THE FAR AWAY PLACE

Thursday, October 8, 2009

Bacalah

Permulaan
Sentiasa bermula
Tiada kenal akhir
Pada yang lama ada yang baru
Hakikat ilmu
Banyak seperti pepasir
Dalam seperti lautan
luas seluas cakrawala
Bacalah olehmu wahai manusia
Semua ilmu dari yang Satu
Semua buta kecuali yang Satu
Semua masih jahil murakkab
Bacalah segala isi-isi ini
kan terbentang jalan kehidupan

Wednesday, October 7, 2009

Bahasa Arab Ammi

Bahasa Arab merupakan bahasa yang dituturkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Oleh kerana keistimewaan yang dimiliki oleh Bahasa Arab,Allah telah menurunkan mukjizat terbesar nabi Muhammad saw menggunakan lisan Arab.Kriteria istimewa yang dimiliki oleh Bahasa Arab adalah seperti mempunyai prosa kata yang banyak dan kaya dengan lafaz yang mampu mengungkapkan setiap ekspresi penutur.Setiap huruf yang berbeza mengandungi intonasi tersendiri yang mencerminkan maksud perkataan tersebut.Contohnya perkataan لين yang bermaksud lembut sesuai dengan huruf yang dipilih kerana huruf ل ي ن melahirkan intonasi yang lembut juga.Manakala perkataan غضب yang bermaksud marah terdiri daripada huruf-huruf yang mempunyai intonasi yang agak kasar.Bahasa Arab sememangnya memiliki keunikan yang menakjubkan jika mengkajinya secara terperinci.

Namun,apa yang mendukacitakan adalah nasib Bahasa Arab Fushah(baku) hari ini agak menyedihkan memandangkan ramai yang memandang sepi akan keistimewaan yang dimiliki.Justeru terdapat usaha untuk menjadikan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Ammi yang tidak mempunyai dasar yang kukuh sebagai kiblat hidup mereka.Bahasa Arab Ammi(rojak) yang jauh tersimpang dari prosa dan tatabahasa Arab yang tulen bermula sejak zaman sebelum kebangkitan Islam lagi.Fenomena kerosakan bahasa ini timbul disebabkan faktor politik(kolonial),sosial, ekonomi,perang saraf(di dalam bahasa Arab sendiri),arus kemodenan,kesilapan memindahkan fakta dan pelbagai lagi.

Kesalahan umum dalam penggunaan prosa Arab telah berkembang secara berleluasa.Malah penyair terkemuka pada zaman Jahiliyyah juga turut terlibat dalam fenomena kerosakan bahasa ini.Contoh yang boleh saya hadirkan adalah kata-kata Ubaidillah bin Ziyad yang merupakan gabenor Islam di Kufah dan Basrah,

“ “bermaksud bukalah pedang kamu.Maksud sebenar beliau adalah,”hunuskan pedangmu” dan perkataan yang paling tepat adalah” “.Beliau telah terpengaruh dengan penggunaan lafaz-lafaz Farsi kerana ibu beliau beasal daripada Farsi.

Tambahan lagi,percampuran orang Arab dan ‘Ajam(bukan Arab )telah merancakkan lagi fenomena ini apabila lahirnya pelbagai lafaz-lafaz baru yang menggabungkan beberapa bahasa yang berbeza.

Mengintai dari skop politik,kolonial atau penjajahan merupakan faktor terpenting yang membantutkan penggunaan Bahasa Arab Fushah di kalangan masyarakat Arab.Mesir sendiri yang dijajah oleh Perancis dan Inggeris telah dilanda satu revolusi apabila Bahasa Ammi mula dipakai secara berleluasa.Unsur-unsur kemodenan yang dibawa berpenjajah menjauhkan masyarakat Islam daripada pegangan Islam lantas meninggalkan Bahasa Al-quran dan lebih bangga bertutur menggunakan Bahasa Ammi atau bahasa penjajah.Bahasa Ammi mula diadaptasi dalam media elektronik dan cetak.Justeru timbul banyak gerakan yang membantu pertumbuhan Bahasa Ammi di Mesir.Contohnya Wilhalm Spita Jermany telah menyeru masyarakat Mesir mempopularkan Bahasa Ammi melalui buku beliau berjudul “Tatabahasa Arab Ammi Mesir” yang diterbitkan pada tahun 1880.Permulaan ini diikuti dengan kesungguhan bangsa asing mempelajari lahjah atau dialek Mesir dalam usaha menguburkan Bahasa Arab Fusha.Antaranya seorang orentalis Perancis,Selfredtrada Sasi telah menerbitkan hasil kajian beliau berjudul”Bahasa Ammi Mesir dan Syam”.Malah sebuah universiti di United Kingdom telah menubuhkan jabatan khusus pada awal kurun ke 19 untuk mengkaji secara teliti tentang Bahasa Arab Fusha dan Ammi.Lalu di manakah peranan kita untuk mendalami Bahasa Al-Quran ini?

Apa yang menyedihkan,lahir di kalangan anak tempatan beberapa individu yang tidak bertanggungjawab untuk mempertahankan bahasa ibonda.Sebaliknya mereka menyeru masyarakat membudayakan Bahasa Ammi.Kamal Hasan dalam karya beliau”Bahasa Arab Kontemporari” telah memperkenalkan bahasa yang lebih ringan untuk digunapakai dengan memperincikan hanya beberapa bab terpenting dalam Nahu(tatabahasa Arab)sahaja untuk dipelajari.Beliau juga mengharuskan penggunaan beberapa kalimah asing dalam pertuturan Bahasa Arab Fusha untuk memudahkan penutur mengungkapkan apa yang terlintas di mindanya.

Tuntasnya,fenomena ini telah menyentuh sensitiviti ulamak kita untuk bangkit menyedarkan masyarakat peri pentingnya memprolifikkan Bahasa Arab Fusha dalam kehidupan.Justeru,kita wajib menilai dengan mata hati betapa Bahasa Arab Ammi tidak langsung sama kedudukannya dengan Bahasa Arab Fusha.Saya seru diri saya dan sahabat-sahabat untuk membudayakan Bahasa Arab Fusha dalam kehidupan semaksimum mungkin .