Sunday, June 14, 2009
Projek Rancang Usaha
Pernahkah kita terasa seketika yang perjalanan hidup kita ini sedang menyusuri jalan yang tidak pernah kita fikirkan. Kadang-kadang bila menoleh sejenak masa yang berlalu, kita melihat kita telah melakukan sesuatu yang tidak pernah kita rancangkan sebelum ini.
Pernahkah kita bertanya. Apakah matlamat hidup ini? Kebanyakan kita hidup dalam dunianya tersendiri, mempunyai beberapa impian namun ia berakhir dengan khayalan semata.
Sesuatu yang pelik bin ajaib apabila seseorang merancang untuk bercuti kemana-mana berminggu-minggu lamanya, tetapi lupa untuk merancang matlamat dan perjalanan hidupnya. Seperti juga seseorang itu mengelak untuk bermusafir tanpa perancangan yang rapi. Tetapi pada masa yang sama dia tidak mempercayai kepada perancangan kehidupan.
Firman Allah S.W.T
يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغد واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون الحشر:18
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Berpandukan kepada pimpinan rabbani ini, apakah yang menghalang kita dari menginginkan kebaikan pada hari mendatang dengan merancangnya dengan teliti?
Secara jelas, semua orang mampu untuk merancang masa depannya, demikianlah kita harus mengharapkan perkara baik berlaku pada masa hadapan. Perkara yang selalu menjadi penghalang kepada kejayaan seseorang adalah sikap yang mengesyorkan yang kejayaan adalah milik segelintir orang sahaja yang dianugerahkan keupayaan untuk memperolehinya.
Mengikut kepada Dr. Ibrahim alfaqi dalam bukunya سيطرة على حياتك (menguasai hidup kamu sendiri), beliau menyenaraikan beberapa faktor yang membawa seseorang kepada pengabaian untuk merancang hidupnya, antaranya :
1. Takut akan kegagalan
Ketakutan yang disebabkan oleh pengalaman lalu.
2. Pandangan yang terkeliru
Insan yang pegangan dirinya goyah, ketidakyakinan begitu tepu dalam dirinya. Dia merasakan dirinya tidak layak untuk mengecapi kejayaan. Baginya kejayaan itu diciptakan hanya untuk insan yang terpilih sahaja.
3. Penangguhan waktu
Pencuri yang mencuri umurnya, gelaran yang sesuai bagi seseorang yang suka menangguhkan kerjanya yang sentiasa mencipta alasan yang pelbagai untuk mempertahankan dirinya atas kemalasan untuk merancang kehidupannya.
4. Ketidakpercayaan terhadap kepentingan perancangan
Tidak mempercayai kepentingan merancang matlamat dan masa depan, dengan alasan bahawa terdapat juga orang yang berjaya tanpa perancangan yang rapi. Tetapi ini adalah pengecualian dan bukannya kaedah.
5. kurang pengetahuan
Mempunyai impian yang hebat tetapi tidak mempersiapkan diri dengan ilmu dan segala yang berkaitan yang boleh membantu mencapai impiannya . Maka impiannya akan terus kekal menjadi satu siri angan-angan yang dimimpikannya siang dan malam dan akan berakhir dengan penyesalan حسرة على حسرة.
Matlamat atau objektif yang ditulis dilihat lebih realiti dimana seseorang itu pada fasa ini telah menggerakkan jarinya dan menggerakkan mindanya untuk sibuk berfikir bagaimana untuk menyenaraikan objektif dan merangka pelaksanaannya.
Selain itu, kita boleh menjadikan seseorang yang hebat peribadinya dan hebat kejayaan dirinya sebagai role model dan public figure sebagai modul ke arah pencapaian sesuatu kelayakan atau kemahiran.
Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri juga adalah penyumbang kepada faktor kejayaan seseorang. Kita haruslah ber'iktikad yang kita sememangnya layak untuk menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.
Time management turut memainkan peranan dalm perancangan masa depan yang baik. Waktu itu adalah kehidupan. Pengurusan masa harus dibuat dengan bijaksana kerana kehilangannya adalah kerugian disamping ia tidak boleh diganti.
Fasa berikutnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian dengan melakukan apa yang mungkin dan dikehendaki selagi ia tidak melanggar Syari'at agama. Usaha yang berterusan adalah bahan utama dalam resepi untuk menghasilkan kejayaan.
Firman Allah
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم وإذا أراد الله بقوم سوءًا فلا مرد له وما لهم من دونه من وال الرعد : 11
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
Dalam tulisan –tulisan saya yang lalu saya ada menulis tentang tenang atau lembap dan zon selamat. Dua perkara ini juga adalah batu penghalang kepada kejayaan yang sedang melanda pemikiran dan sikap umat melayu, jika kita mampu untuk mengangkat batu ini nescaya kita mampu untuk pergi lebih jauh. Sikap bermalas-malas dan sambil lewa dalam melakukan sesuatu tidak menguntungkan diri malah merugikan.
Setelah melalui peringkat legaslatif dimana kita membuat, mengubal, dan meminda perancangan seterusnya kita akan pergi ke peringkat eksekutif (badan pelaksana), di sini kita perlu melaksanakan apa yang kita rancang dengan bersungguh-sungguh dengan kuasa eksekutif yang kita ada. Kemudian menyusul pula fasa kehakiman iaitu peruntukan masa untuk melihat dan meneliti apa yang telah dibuat samada berlaku kontradiksi di antara obejektif dan tindakan.
Peringkat terakhir sekali ialah bertawakkal kepada tuhan pemilik Alam yang Maha Berkuasa Allah S.W.T. menyerahkan segalanya kepada Allah setelah segala perancangan telah dibuat dan ini adalah konsep tawakkal yang sebenar. Allah berkuasa untuk melakukan apa yang dikehendakinya dan setiap yang terjadi pasti mempunyai hikmah yang sukar difahami manusia.
Kita tidak mampu meramal masa depan namun kita boleh merancang. Kita tidak mampu mengubah masa lepas namun kita boleh membaikinya. Kita hanya mampu merancang Allah sahaja yang menentukannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment