Thursday, June 11, 2009

Hormati idea Abdul Hadi (Utusan Malaysia)

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jun – Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pakatan pembangkang diminta menghormati idea gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dewan Pemuda Pas berpendirian peluang perlu diberikan sepenuhnya kepada Abdul Hadi untuk memberi penjelasan lanjut dan bukan membahaskannya berdasarkan sentimen dan emosi.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebagai seorang yang berilmu dalam bidang agama, mustahil Abdul Hadi akan mengemukakan sesuatu yang bertentangan dengan nas, justeru mereka harus lebih bertenang, bersabar serta tidak mudah melatah apabila membicarakan idea berkenaan.

‘‘Datuk Seri (Abdul Hadi) adalah seorang yang berilmu, berpengalaman dan bukan seorang yang jahil. Beliau merupakan ketua kami dan juga seorang ulama. Beliau berkelayakan untuk melontarkan apa jua idea yang mampu memberi manfaat kepada agama, rakyat dan negara.

‘‘Cetusan idea kerajaan perpaduan ini dibuat secara ilmiah iaitu dengan bersandarkan nas serta dalil di dalam Islam. Mustahil Datuk Seri akan mengemukakan satu idea yang boleh mendatangkan keburukan.

‘‘Sehubungan itu jika hendak dibahas sekalipun ia perlu dilakukan dalam konteks disiplin ilmu yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang berhubung idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.

Idea itu pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.

Dalam muktamar tersebut Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

Nasrudin berkata, pemimpin pakatan pembangkang juga harus sedar selama ini Pas sentiasa menyokong setiap idea yang dikemukakan atas semangat setia kawan walaupun ada masanya parti itu tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Menjawab satu soalan, Nasrudin mengakui, perbahasan secara emosi dan sentimen peribadi boleh menyebabkan ia dilihat mengikut perspektif yang sempit dan negatif.

‘‘Ini ditambahkan lagi dengan kenyataan yang menyebut, idea kerajaan perpaduan itu sama dengan usaha untuk membawa Pas menyertai UMNO.

“Saya ingin tegaskan di sini, perkara ini tidak akan berlaku dan mustahil berlaku. Tidak akan ada pemimpin dalam Pas akan berbuat demikian.

‘‘Ideologi Pas tidak sama dengan UMNO. Dasar perjuangan parti pun tidak sama tetapi bukan bermaksud kita harus menjauhi diri daripada mereka.

‘‘Kita harus mendekati mereka bagi tujuan dakwah kita selain berusaha untuk menyelesaikan banyak masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, al-Quran ada menyatakan dengan maksudnya ‘hendaklah kamu bekerjasama dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara jahat dan dosa’, merupakan arahan Allah kepada setiap hamba-Nya supaya menjalinkan kerjasama di dalam perkara yang berasaskan ketaqwaan.

‘‘Arahan ini jelas yang mana Allah menyuruh kita bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan iaitu dengan meletakkan taqwa sebagai asas dan dalam masa sama Allah melarang kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa,” ujarnya.

No comments: